Uruskan perbankan dengan yakin.
Keselamatan anda keutamaan kami
— dilindungi pada setiap langkah.
Daripada pengesahan biometrik kepada pengesanan penipuan, Ryt Bank sentiasa menjaga keselamatan akaun anda.
Melengkapkan anda dengan ilmu untuk melindungi diri daripada pemalsuan dan penipuan.
Kekal termaklum, sentiasa terlindung
Bagaimana kami melindungi anda
+
-
01.

Satu akaun, satu peranti

Transaksi dihadkan kepada satu peranti mudah alih atau peranti yang selamat, bagi setiap pemegang akaun. Ini memastikan peranti yang dipautkan oleh anda sahaja yang boleh mengakses aplikasi dan membuat transaksi.

02.
Penambahan pengesahan berbilang faktor

Kami meningkatkan keselamatan dengan proses pengesahan berbilang faktor, yang termasuk teknologi pengecaman wajah dan pengesahan kod laluan untuk melindungi anda daripada akses yang tidak dibenarkan dan aktiviti penipuan.

03.
Pengawasan masa nyata

Transaksi yang melebihi ambang tertentu atau aktiviti yang tidak normal akan segera memberi amaran, supaya kami boleh menyiasatnya dengan cepat bagi melindungi akaun serta aset kewangan anda.

Apakah yang perlu dibuat – jika anda rasa anda telah ditipu
+
-

Segera bertindak:

01.
Kunci akaun anda untuk menggantungnya buat sementara waktu. Perlukan bantuan? Ikut panduan langkah demi langkah di bawah.

Panduan langkah demi langkah untuk mengunci akaun anda:

  1. Klik pada profil anda untuk mengakses "Settings".
  2. Pilih “Keselamatan”.
  3. Klik pada “Mengunci akaun”.
  4. Lengkapkan pengesahan wajah untuk tujuan keselamatan.
02.
Sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami untuk membuka kunci akaun anda.
03.
Hubungi Ejen Khidmat Pelanggan kami di +603-5115 5115.
Failkan laporan polis dan e-mel salinannya kepada kami di support@rytbank.my
Bagaimana anda boleh melindungi akaun anda
+
-
01.
Muat turun dan pasang aplikasi Ryt Bank daripada kedai aplikasi rasmi seperti Google Play Store dan Apple App Store. Awasi penipuan yang memperdayakan anda untuk memuat turun aplikasi daripada sumber yang tidak dikenali.
02.
Simpan maklumat perbankan peribadi seperti ID pengguna, kod laluan dan nombor akaun anda dengan selamat. Jangan sekali-kali berkongsinya dengan sesiapa pun, termasuk kami.
03.
Kerap mengemas kini kod laluan perbankan mudah alih anda, dan jangan sekali-kali berkongsinya dengan sesiapa pun.
04.
Gunakan kod laluan yang kukuh dan selamat. Elakkan mengguna nombor berurutan atau berulang, dan jangan gunakan maklumat yang mudah diteka seperti nombor telefon bimbit, nombor NRIC dan tarikh lahir anda.
05.
Aktifkan notifikasi aplikasi Ryt Bank untuk menerima kemas kini tentang semua transaksi anda dalam masa nyata.
3S – SPOT, STOP dan SHARE
+
-

Lindungi diri anda daripada penipuan dengan langkah ‘3S – Spot (Kenal Pasti), Stop (Henti), dan Share (Kongsi)’

01.
KENAL PASTI

Perhatikan tanda-tanda penipuan. Soal, siasat, dan sahkan untuk memastikan yang anda berurusan dalam transaksi yang sah.

02.
HENTI

Jika sesuatu perkara kelihatan meragukan atau mencurigakan berhenti berurusan dengan penipu itu. Jangan berikan sebarang butiran perbankan atau pembayaran.

03.
KONGSI

Kongsikan apa yang anda tahu tentang penipuan dengan kawan dan keluarga. Bantu melindungi orang lain dengan melaporkan penipuan kepada pihak berkuasa yang berkenaan supaya mereka boleh bertindak.

Sumber kerajaan
+
-
01.
Bank Negara Malaysia: Amaran Penipuan Kewangan– Klik di sini
02.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Portal: Semak Mule - Klik di sini
03.
#JanganKenaScam: Kesedaran Penipuan Kebangsaan - Klik di sini
04.
Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC): Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) - Klik di sini
Ketahui kaedah penipuan biasa dan cara untuk sentiasa berwaspada.
Taktik penipuan & cara
untuk kekal selamat
Jenis-jenis penipuan
Penipuan E-DagangPenipuan PelaburanPenipuan PekerjaanPenipuan PinjamanPenipuan CintaPenipuan MacauPenipuan Perisian HasadPenipuan Akaun KeldaiPenipuan Pancing Data
01.
Apakah ini

Penipu mencipta kedai dalam talian atau senarai yang kelihatan sah, untuk mengiklankan produk popular pada harga yang jauh lebih rendah daripada nilai pasaran. Tawaran ini direka untuk menarik pembeli yang mudah percaya, dan tertarik dengan diskaun yang besar itu.

02.
Bagaimana ia berfungsi
  1. Tawaran yang nampaknya terlalu bagus untuk dipercayai.
  2. Penjual menggesa anda untuk segera membayar, kerana stok atau tawaran itu dikatakan terhad.
  3. Penjual tidak menghantar barang itu atau menghantar produk tiruan dan menyekat hubungan anda.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Elakkan tawaran yang nampaknya terlalu bagus untuk dipercayai.
  2. Jangan terburu-buru sebelum membeli atau menjual.
  3. Sahkan nombor akaun bank penjual menggunakan laman web Semak Mule.
01.
Apakah ini

Mangsa diminta menghantar duit untuk pelaburan, yang biasanya menjanjikan pulangan yang tinggi. Apabila mangsa cuba mengeluarkan dana mereka, mereka mungkin diminta membayar lebih banyak wang atau mendapati yang penipu itu tidak boleh dihubungi lagi.

02.
Bagaimana ia berfungsi
  1. Penipu menawarkan peluang pelaburan yang nampaknya menguntungkan.
  2. Mangsa menghantar duit kepada penipu, yang menjanjikan pulangan yang menarik.
  3. Apabila mangsa ingin mengeluarkan dana mereka, mereka diminta membayar lebih banyak wang atau mendapati yang penipu itu tidak boleh dihubungi lagi.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Awasi peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dengan risiko yang rendah.
  2. Elakkan menghantar duit kepada individu atau entiti yang tidak boleh disahkan.
  3. Selidik peluang pelaburan itu dengan teliti dan berunding dengan penasihat kewangan yang boleh dipercayai.
01.
Apakah ini

Penipuan pekerjaan melibatkan skim penipuan di mana penipu menyamar sebagai majikan atau perekrut untuk memperdayakan pencari kerja. Mereka mungkin menawarkan peluang pekerjaan palsu untuk mencuri maklumat peribadi atau wang.

02.
Bagaimana ia berfungsi
  1. Penipu mengiklankan pekerjaan palsu yang nampaknya terlalu bagus untuk dipercayai, biasanya dengan gaji atau faedah yang tinggi.
  2. Mangsa diminta membayar yuran untuk latihan, pemeriksaan latar belakang, atau peralatan sebelum mereka boleh mula bekerja.
  3. Selepas membayar, mangsa tidak akan diberikan pekerjaan itu atau mendapati yang pekerjaan itu adalah palsu.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Awasi tawaran pekerjaan yang meminta pembayaran untuk latihan, pemeriksaan latar belakang atau yuran lain.
  2. Sahkan kesahihan majikan atau perekrut dengan menyemak maklumat hubungan mereka dan menyelidik syarikat mereka.
  3. Elakkan berkongsi maklumat peribadi atau membuat pembayaran sehingga anda telah mengesahkan kesahihan peluang pekerjaan itu.
01.
Apakah ini

Penipuan pinjaman melibatkan skim penipuan, di mana penipu menawarkan pinjaman atau perkhidmatan kredit yang palsu untuk memperdayakan individu. Mereka mungkin meminta yuran dibayar terlebih dahulu atau maklumat peribadi sebelum menghilangkan diri.

02.
Bagaimana ia berfungsi
  1. Penipu akan menyamar sebagai peminjam wang yang bereputasi baik, dan menggunakan kad perniagaan palsu untuk memperkenalkan diri mereka sebagai penasihat jualan atau kewangan. Mereka menghubungi bakal mangsa melalui laman web, media sosial, e-mel, atau mesej teks, supaya dilihat sebagai entiti yang sah.
  2. Penipu ini biasanya menawarkan pinjaman yang nampaknya terlalu bagus untuk dipercayai, seperti kadar faedah yang rendah, kelulusan yang mudah, atau jumlah pinjaman yang tinggi dengan keperluan minimum. Mereka menggunakan tawaran yang menarik ini untuk menggesa anda supaya membuat keputusan dengan cepat tanpa berfikir sewajarnya.
  3. Apabila anda menunjukkan minat, penipu akan meminta dokumen peribadi, seperti NRIC anda, bukti pendapatan, atau maklumat sensitif lain, kononnya untuk memproses pinjaman itu. Ini helah yang digunakan untuk mendapatkan butiran perbankan anda dan maklumat sulit lain.
  4. Mereka juga mungkin meminta pembayaran terlebih dahulu, kononnya untuk membayar belanja tadbir, yuran memproses, atau caj lain. Pembayaran ini biasanya akan diminta untuk dimasukkan ke dalam akaun individu atau syarikat. Setelah pembayaran dibuat, penipu akan menghilangkan diri, dan anda akan kerugian wang dan ditinggalkan tanpa sebarang pinjaman.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Sentiasa berurusan dengan bank atau institusi kewangan yang berlesen apabila anda memerlukan bantuan kewangan. Elakkan berurusan dengan peminjam yang tidak sah atau individu yang mendakwa boleh menawarkan pinjaman melalui saluran tidak rasmi.
  2. Jika anda menerima sebarang permintaan untuk menghantar dana sebagai pembayaran yuran bagi mendapatkan pinjaman, khususnya ke dalam akaun individu atau syarikat yang tidak dikenali, segera melaporkannya.
  3. Jangan sekali-kali mendedahkan maklumat sensitif dan sulit, seperti butiran perbankan anda, pengenalan diri, atau dokumen kewangan kepada individu atau syarikat yang mendakwa mereka adalah wakil pihak ketiga atau ejen institusi kewangan.
01.
Apakah ini

Dalam penipuan cinta, penipu menjalinkan hubungan romantik palsu untuk mengeksploitasi mangsa dari segi emosi dan kewangan. Mereka sering menggunakan platform berkenalan dalam talian atau media sosial untuk membina hubungan sebelum mula meminta wang atau maklumat peribadi.

02.
Bagaimana ia berfungsi
  1. Penipu mencipta profil palsu di tapak berkenalan atau media sosial, untuk menjalinkan hubungan romantik yang nampaknya benar.
  2. Lama-kelamaan, mereka membina kepercayaan dan ikatan emosi dengan mangsa.
  3. Penipu akhirnya akan mengada-adakan krisis atau masalah penting, dan meminta wang atau butiran peribadi daripada mangsa, kononnya untuk membantu mereka.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Awasi hubungan dalam talian yang berkembang dengan cepat dan melibatkan permintaan wang atau maklumat peribadi.
  2. Sahkan identiti individu yang anda temui dalam talian melalui panggilan video atau cara lain.
  3. Elakkan menghantar wang atau berkongsi butiran peribadi dengan orang yang anda tidak pernah berjumpa secara berdepan atau tidak dikenali lama.
01.
Apakah ini

Mangsa mungkin menerima panggilan daripada penipu yang menyamar sebagai pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (RMCD) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN). Penipu menggunakan taktik yang mencemaskan dan menakutkan, untuk menggesa mangsa supaya menghantar duit bagi menyelesaikan isu undang-undang yang palsu.

02.
Bagaimana ia berfungsi
  1. Penipu menyamar sebagai pegawai BNM, PDRM, RMCD atau LHDN, dan mendakwa mangsa terlibat dalam isu atau penyiasatan yang serius. Mereka mungkin menampilkan situasi seperti:
    - "Anda sedang disiasat."
    - "Anda ada bayaran tertunggak."
    - "Ada bungkusan untuk anda yang belum diambil."
    - "Anda telah memenangi hadiah wang tunai atau loteri."
  2. Penipu mungkin membuat ancaman palsu untuk menakutkan dan mencemaskan mangsa. Mereka mungkin mendakwa:
    - "Ada perintah mahkamah terhadap anda."
    - "Pihak berkuasa telah membekukan akaun bank anda."
  3. Mereka mendesak mangsa untuk menghantar duit dengan segera, supaya dapat mengelakkan tindakan keras seperti ditangkap atau dihukum.
  4. Setelah mangsa menghantar duit, penipu akan menghilangkan diri, dan mangsa akan menyedari bahawa tiada isu atau penyiasatan undang-undang yang sebenarnya.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Jika anda menerima panggilan seperti itu, jangan panik. Tamatkan panggilan dan sahkan maklumat itu dengan menghubungi terus agensi rasmi melalui nombor rasminya atau melawati laman web rasminya.
  2. Tolak sebarang permintaan untuk membuat pembayaran segera dan dapatkan penjelasan daripada sumber rasmi.
  3. Laporkan panggilan itu kepada pihak berkuasa yang berkenaan jika anda mengesyakinya sebagai penipuan.
01.
Apakah ini

Dalam penipuan perisian hasad, penipu menggunakan perisian berbahaya (perisian hasad) yang dipasang pada peranti anda secara rahsia, untuk mencuri dana daripada akaun anda dan mencuri identiti.

02.
Bagaimana ia berfungsi
  1. Penipu menghantar fail APK berniat jahat melalui e-mel atau platform sembang, biasanya disamarkan sebagai pautan atau lampiran. Mereka mungkin mengatakan ia adalah dokumen penting, kemas kini, atau aplikasi yang memerlukan perhatian segera.
  2. Apabila mangsa klik pada pautan atau lampiran itu, fail APK akan meminta mereka memuat turun dan memasang aplikasi pada telefon mereka. Aplikasi ini mungkin kelihatan sah, yang menyukarkan lagi kebolehan mangsa untuk mengesyaki perbuatan jahat.
  3. Dengan pemberian kebenaran ini, penipu boleh mengakses dan mengawal telefon mangsa dari jarak jauh. Ini termasuk membaca mesej, mengakses maklumat peribadi, mahupun membuat transaksi yang tidak dibenarkan.
  4. Setelah dipasang, aplikasi ini akan meminta pemberian pelbagai kebenaran, seperti keupayaan untuk mengawasi peranti anda, mengakses aplikasi lain dan mengenali gerak isyarat. Kebenaran ini amat penting untuk membolehkan penipu mengawal telefon itu sepenuhnya.
  5. Aplikasi hasad mungkin juga memaparkan halaman pembayaran palsu yang direka untuk menangkap maklumat sensitif.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Awasi pautan atau lampiran yang diterima daripada sumber yang tidak dikenali, walaupun ia nampaknya datang daripada orang yang anda kenali. Sentiasa mengesahkan sumber sebelum memuat turun sebarang fail.
  2. Hanya pasang aplikasi daripada sumber yang boleh dipercayai seperti Google Play Store dan Apple Store. Elakkan memuat turun fail APK daripada pautan yang dihantar melalui e-mel atau sembang.
  3. Pasang perisian keselamatan yang bereputasi baik pada peranti anda untuk mengesan dan menyekat perisian hasad. Kerap mengemas kini sistem pengendalian telefon anda dan aplikasi untuk melindungi kelemahan.
01.
Apakah ini

Akaun bank yang dieksploitasi oleh pihak ketiga atau penipu untuk menerima atau menghantar dana yang mungkin telah dicuri, diubah, atau ada berkaitan dengan aktiviti haram.

02.
Bagaimana ia berfungsi
  1. Penipu mungkin mendatangi anda dan meminta untuk ‘menyewa’ akaun bank anda, dengan menjanjikan wang mudah.
  2. Anda mungkin ditawarkan pekerjaan yang menarik dan nampaknya terlalu bagus untuk dipercayai. Sebahagian daripada tawaran itu termasuk mendaftarkan akaun bank baharu dan menyerahkan kad ATM atau butiran perbankan dalam talian.
  3. Sesetengah peminjam wang haram atau tidak berlesen mungkin meminta kad ATM anda sebagai cagaran semasa proses memohon pinjaman.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Jangan sekali-kali menerima tawaran pekerjaan atau ganjaran yang nampaknya terlalu bagus untuk dipercayai, sebagai balasan untuk menggunakan akaun bank anda. Sahkan kesahihan syarikat dan tawaran pekerjaan itu sebelum berkongsi sebarang maklumat.
  2. Jangan sekali-kali berkongsi butiran perbankan anda, seperti nombor kad ATM, PIN, atau butiran perbankan dalam talian dengan sesiapa pun.
  3. Semak nombor akaun penerima di laman web Semak Mule.
01.
Apakah ini

Penipuan pancing data adalah skim penipuan di mana penipu mencuba untuk mencuri maklumat peribadi, kewangan, atau log masuk dengan menyamar sebagai entiti sah, seperti bank, syarikat atau organisasi yang boleh dipercayai.

02.
Bagaimana ia berfungsi​
  1. Penipu sering kali menghantar e-mel, mesej, atau panggilan yang nampaknya datang daripada sumber sah dengan logo dan bahasa rasmi, untuk memperdayakan orang.
  2. Mesej biasanya mengandungi hiperpautan boleh klik, yang direka untuk menipu anda supaya memasukkan butiran perbankan atau maklumat peribadi anda.
  3. Mangsa diperdayakan untuk memasukkan maklumat sensitif, seperti nama pengguna, kod laluan, atau butiran kad kredit, yang kemudiannya dicuri oleh penipu.
03.
Apakah yang perlu saya buat
  1. Awasi mesej tidak diingini, yang meminta maklumat peribadi atau kewangan.
  2. Sentiasa pastikan yang anda log masuk ke dalam akaun perbankan anda melalui laman web rasmi bank.
  3. Perhatikan pautan laman web dengan teliti sebelum meneruskan aktiviti perbankan anda. Semak dua kali bahawa URL adalah betul dan bermula dengan "https://" untuk memastikan anda berada di tapak yang selamat dan sah.
  4. Elakkan mengklik pautan atau memuat turun lampiran daripada sumber yang tidak dikenali atau mencurigakan.